Ujian
yang berat
Suatu
hari, ketika Nabi Ibrahim a.s. berada di Mekah sedang dalam keadaan
tertidur. Dia mendengar suara daripada Allah s.w.t. yang
memerintahkannya agar dia menyembelih anaknya, Ismail. Nabi Ibrahim
a.s. bangun daripada tidurnya dalam keadaan terkejut dengan mimpinya
yang aneh itu. Nabi Ibrahim a.s. meminta keampunan dan perlindungan
kepada Allah s.w.t. Dia kembali tidur. Mimpi yang seperti awalnya
terjadi lagi. Dia bangun lagi dan tidur lagi. Akan tetapi, mimpinya
masih tetap sama.
Nabi Ibrahim a.s. mengetahui bahawa perintah
tersebut merupakan ujian yang harus dia jalani. Amat berat bagi
Ibrahim a.s. untuk memberitahu isi wahyu itu kepada Ismail. Ismail
pada saat itu menginjak dewasa dan boleh mencari nafkahnya sendiri.
Nabi Ibrahim a.s. sangat senang kerana Ismail sudah besar. Nabi
Ibrahim a.s. memberitahu perintah Allah s.w.t. tersebut kepada
Ismail.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Maka
tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama
Ibrahim, Ibrahim a.s. berkata, 'Hai anakku sesungguhnya aku melihat
dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu. Maka fikirkanlah apa
pendapat kamu!' Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang
diperintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t. kamu akan mendapatiku
termasuk orang-orang yang sabar.'"
(Ash-Saffat: 102)
Ketika
Nabi Ibrahim a.s. hendak pergi melaksanakan penyembelihan puteranya
itu, beliau berkata kepada Siti Hajar, ibu Ismail a.s.: "Tolong
kamu pakaikan anak kamu Ismail pakaian yang paling baik dan cantik
kerana aku akan pergi berziarah dengannya."
Siti Hajar
memakaikan pakaian yang paling cantik kepada Ismail, memberinya
minyak rambut, lalu menyisir rambutnya. Kemudian, Nabi Ibrahim a.s.
pergi bersama Ismail dekat dengan kota Mina. Dia juga membawa tali
dan pisau yang tajam. Waktu itulah, iblis terkutuk datang menggoda
Nabi Ibrahim a.s. Mereka tidak pernah sesibuk seperti hari itu.
Menyaksikan perkara itu, Ismail ketakutan dan berlari ke hadapan
ayahnya.
Iblis lalu berkata: "Apakah kamu tidak
memerhatikan badannya yang gagah, parasnya yang tampan dan
perilakunya yang santun?"
Nabi Ibrahim a.s. menjawab:
"Ya, tetapi aku telah diperintah oleh Tuhanku untuk
menyembelihnya."
Apabila iblis terkutuk itu putus asa
kerana tidak dapat menggoda Nabi Ibrahim a.s., dia pun pergi menemui
Siti Hajar dan berkata: "Bagaimana boleh kamu hanya duduk-duduk
sahaja, sedangkan Ibrahim pergi dengan anak kamu dan hendak
menyembelih anak kamu?"
Siti Hajar menjawab: "Jangan
berdusta! Aku tahu seorang ayah tidak akan sanggup menyembelih
anaknya sendiri!"
Iblis berkata: "Suami kamu membawa
pergi anak kamu sambil membawa tali dan pisau. Dia mengira Tuhannya
telah menyuruhnya untuk itu."
Siti Hajar mengelak: "Nabi
tidak diperintahkan untuk mengerjakan sesuatu yang sia-sia. Tapi,
jika memang Allah s.w.t. telah memerintahkan perkara itu, aku sendiri
bersedia untuk menurut perintah itu dengan jiwaku. Bukan hanya jiwa,
malah anakku rela kukorbankan demi Allah s.w.t.!"
Apabila
iblis terkutuk berputus asa kerana tidak boleh memujuk Siti Hajar,
maka dia pergi menemui Ismail seraya berkata: "Hai Ismail, kamu
nampak bersenang-senang, sedangkan saat ini ayah kamu membawa tali
dan pisau untuk menyembelih kamu."
"Jangan berdusta,
hai iblis. Mengapa ayahku hendak menyembelihku?" tanya
Ismail.
"Dia mengira bahawa Tuhannya telah menyuruhnya
demikian."
"Aku memerhatikan dan mentaati perintah
Tuhanku!" tegas Ismail
Ketika iblis yang terkutuk itu
melontarkan kata-kata yang lain, terlebih dahulu Ismail a.s.
mengambil batu dan tanah lalu melemparkannya kepada iblis sehingga
menyebabkan mata iblis yang kiri pecah dan menjadi buta. Setelah itu,
barulah iblis pergi. Peristiwa inilah yang melatarbelakangi perintah
Allah s.w.t.yang mewajibkan umat Islam untuk melemparkan batu di
tempat itu untuk mengusir syaitan seperti yang dilakukan oleh Nabi
Ismail.
Apabila Nabi Ibrahim a.s. sampai di Mina, beliau
berkata kepada Nabi Ismail: "Anakku, aku mendengar dalam mimpiku
bahawa Allah s.w.t. telah memerintahkanku untuk menyembelih kamu.
Bagaimana pendapat kamu?"
Maksud daripada pertanyaan Nabi
Ibrahim a.s. adalah dia meminta pendapat Nabi Ismail tentang perintah
dalam mimpinya itu. Adakah Ismail akan tabah dan sabar menerima
perintah Allah s.w.t. itu, atau Ismail akan menolaknya dan meminta
ampun kepada Allah s.w.t. sebelum perintah itu dilaksanakan.
Sekaligus sebagai ujian adakah Ismail akan menjawab dengan penuh
perhatian dan taat kepada perintah Allah s.w.t. atau tidak.
Lalu
Ismail menjawab: "Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang Allah
s.w.t. perintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t., ayah akan
mendapatkan aku sebagai orang yang sabar dalam menjalankan perintah
Allah s.w.t."
Apabila Nabi Ibrahim a.s. mendengar jawapan
dari puteranya itu, beliau tahu bahawa doanya telah dikabulkan oleh
Allah s.w.t. iaitu: "Rabbi hablii minash solihiin. (Ya Tuhanku,
berikanlah aku anak yang soleh)." Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun
mengucapkan pujian dan syukur serta berterima kasih kepada Allah
s.w.t.
Kemudian Ismail berkata: "Wahai ayah, aku
sampaikan beberapa pesanan kepada ayah! Hendaklah ayah mengikat
tanganku agar aku tidak dapat bergerak-gerak kerana mungkin aku akan
menyakiti ayah. Hadapkan wajahku ke tanah agar ayah tidak dapat
melihat wajahku dan berasa kasihan kepadaku. Hendaklah ayah melipat
kain ayah agar tidak dilumuri darah meskipun sedikit sehingga
mengurangkan pahalaku dan diketahui oleh ibu hingga dia menjadi
sedih. Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah dan mempercepatkan
sembelihannya di atas leherku agar aku tidak merasa terlalu sakit
kerana sesungguhnya mati itu sakit sekali.
Hendaklah ayah
membawa bajuku kepada ibu sebagai kenang-kenangan dariku, serta
sampaikan salam hormatku kepadanya dan katakan; Bersabarlah engkau
menerima perintah Allah s.w.t. dan jangan beritahu kepadanya bahawa
ayah telah menyembelih aku dengan mengikat tanganku. Jangan pula ayah
memasukkan anak-anak ke rumah ibu, agar kesedihannya tidak terlalu
lama. Begitu juga ayah, janganlah kamu melihat anak seusiaku kerana
nanti ayah akan menyesal dan bersedih terhadapku."
Mendengar
permintaan anaknya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: "Sebaik-baik
penolong adalah kamu, wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah
s.w.t."
Kemudian kedua-duanya bersiap untuk melaksanakan
perintah Allah s.w.t. Nabi Ibrahim a.s. sendiri yang akan
membaringkan Nabi Ismail seperti membaringkan kambiing yang akan
disembelih. Ada juga yang mengisahkan Nabi Ibrahim a.s.
menelungkupkan wajah Ismail dengan syarat agar tidak melihat sesuatu
yang akan menimbulkan kasih sayangnya sehingga dapat menghalangnya
daripada melaksanakan perintah Allah s.w.t. Kejadian itu terjadi di
suatu sisi seketul batu besar yang terletak di Mina.
Ada yang
mengisahkan kejadian itu berlaku di suatu tempat di Mina. Ketika Nabi
Ibrahim a.s. meletakkan pisaunya pada leher Ismail a.s., beliau pun
berusaha memotong dengan kuat sekali, tetapi sekuat manapun dia
mencuba, dia tidak mampu untuk memutuskan leher anaknya
itu.
Sesungguhnya ketika kejadian itu berlaku, Allah s.w.t.
telah membuka tutup mata para malaikat yang ada di langit dan di
laut. Ketika melihat Nabi Ibrahim a.s. telah menyembelih puteranya
Ismail, mereka tersungkur bersujud kepada Allah s.w.t.
Allah
s.w.t. berfirman: "Perhatikan oleh kamu sekalian tentang
hamba-Ku ini, bagaimana dia meletakkan pisau di atas leher puteranya
untuk mengharapkan keredhaan-Ku, sedangkan kamu dahulu telah
menyatakan sesuatu ketika Aku berfirman: "Sesungguhnya Aku akan
menjadikan di bumi ini seorang khalifah." Kamu berkata: "Apakah
Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi dan akan
menumpahkan darah, sedangkan kami semua maha sucikan
Engkau?"
Kemudian Ismail berkata lagi: " Wahai
ayahku, lepaskanlah ikatan tali di tangan dan kakiku agar Allah
s.w.t. tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa mentaati
perintah-Nya. Kemudian letakkan pisau itu di leherku agar
malaikat-malaikat tahu bahawa putera Ibrahim a.s. telah mentaati
perintah Allah s.w.t. dengan ikhtiar (pilihan sendiri dan secara
sukarela)."
Lalu, Nabi Ibrahim pun menelentangkan
kedua-dua tangan Ismail dan kedua kakinya yang tanpa ikatan serta
memalingkan wajahnya ke tanah lalu menekankan pisau dengan sekuat
tenaganya. Namun dengan izin Allah s.w.t., ternyata pisau itu tidak
boleh memotong leher Ismail.
Melihat kejadian itu, Ismail
berkata: "Wahai ayahku, kekuatan kamu menjadi lemah kerana kamu
masih menyimpan cinta kamu untukku. Oleh kerana itulah, kamu tidak
boleh menyembelih aku."
Lalu Nabi Ibrahim a.s. memukulkan
pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua.
Kemudian
Ibrahim a.s. berkata: "Hai pisau, engkau mampu membelah batu
itu, tetapi mengapa engkau tidak mampu memotong leher
anakku?"
Dengan izin Allah s.w.t., pisau itu dapat
berbicara dan menjawab: "Wahai Nabi Allah Ibrahim, kamu memang
mengatakan "Potonglah!" kepadaku, sedangkan Tuhan penyeru
alam sekalian juga berfirman: "Jangan kamu potong!" Maka
bagaimana mungkin aku mentaati kamu, sedangkan aku harus menderhakai
Tuhanku dan Tuhan kamu?"
Kemudian Allah s.w.t. berfirman:
"Dan kami menyeru: "Hai Ibrahim, sungguh kamu telah
membenarkan mimpi kamu. Daripada semua yang kamu lakukan, Aku boleh
melihat bahawa kamu bersungguh-sungguh telah memilih keredhaan-Ku
daripada kecintaan kamu terhadap anak kamu. Oleh sebab itulah, kamu
termasuk golongan orang-orang yang taat kepada perintah-Ku.
Sesungguhnya ujian ini merupakan ujian yang nyata. Penyembelihan itu
adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas dan yang
tidak ikhlas dan merupakan ujian yang sangat sukar kerana tidak ada
yang sesukar ujian ini."
"Maka, Kami selamatkan
orang yang diperintahkan menyembelih dengan sembelihan yang besar
daripada syurga, iaitu kambing kibas yang dahulu telah dikorbankan
oleh Habil yang telah diterima darinya. Korban (kambing) itu tetap
berada di syurga sehingga Ismail ditebus (ditukar) dengan kambing
itu. Oleh sebab itulah, Kami perintahkan kepada Jibril untuk membawa
kambing kibas itu ketika terakhir kali engkau meletakkan pisau kamu
kepada leher Ismail."
Malaikat Jibril lalu berseru untuk
mengagungkan Allah s.w.t. dan merasa takjub (kagum) menyaksikan
perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sambil berucap: "Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar."
Lalu Nabi Ibrahim a.s.
membalas ucapan Jibril dengan ucapan: "La ilaaha illallaahu
Allahu Akbar."
Begitu juga Ismail, dia menyambutnya
dengan ucapan: "Allahu akbar wa lillahil hamdu."
Kemudian
Allah s.w.t. memuliakan ucapan itu lalu mewajibkan umat Islam untuk
mengucapkannya pada hari raya Aidil Adha untuk mengikut jejak Nabi
Ibrahim a.s. dan puteranya, Nabi Ismail yang sentiasa redha dan taat
dalam menjalankan perintah Allah s.w.t.
pstt: kisah yg agak panjang namun sgt best untuk dibaca..terharu, sedih dan sebak...semoga menjadi penghayatan buat kita semua dalam menyambut Aidiladha yang bakal tiba nanti.....mencari untuk penghayatan diri tapi elok dikongsi bersama kan...sumber
..Time Kasih Tok Korunks kerana sudi layanz celoteh Rieda_ffya..